Friday 14 March 2014

DOA ADALAH PEDOMAN KITA


Assalamu'alaikum

Apa khabar semua? Semoga semua pembaca blog Cik Nur sentiasa dalam lindungan dan rahmat Alllah S.W.T, diberi kesihatan yang lebih baik, sentiasa ceria, dimurahkan rezeki, dipanjangkan umur dan moga Allah ampunkan dosa para pembaca blog Cik Nur dan Cik Nur.

Doa adalah pedoman kita itulah tajuk kita pada hari ini. Hari ini satu dunia gempar dengan berita kehilangan pesawat Malaysia Airlines yang kodnya MH 370 yang menghala ke Beijing. Sing in twitter sahaja sudah penuh dengan berita kehilangan MH 370, log in facebook juga sama. Ada yang berfikiran sudah enam hari pesawat MH 370 pasti penumpang serta anak kapal sudah meninggal mungkin salah andaian kita jika Allah sudah tetapkan mereka masih hidup  dan masih bernafas apa yang kita mahu jawab? Sekarang ini kita diberi pelbagai ujian antaranya ialah , kemarau, jerebu, kehilangan pesawat Mh 370 dan lain-lain.

Allah beri kita ujian kerana Allah tahu kita boleh mengharungi ujian Allah itu. Kita sudah banyak berusaha tetapi adakah kita berusaha untuk berdoa tanpa henti,  dan tunaikan solat sunat hajat,. Doa adalah sesuatu yang hebat! Bukan ketika kita sedang diuji sahaja perlu berdoa setiap masa kita perlu berdoa kerana Allah sangat suka kepada hamba-Nya yang selalu merintih , meminta pertolongan, dan mengadu kepada Allah kerana Allah lah pencipta kita. Pada masa ini kita tidak boleh berhenti berdoa.

Sedangkan pada zaman nabi juga mereka berdoa pada Allah S.W.T apabila ditimpa musibah. Pelbagai doa yang kita dapat ketahui apabila membaca al-Quran yang mempunyai tafsir. Apabila kita berdoa, berdoalah dengan penuh rasa kehambaan, kehinaan, merintih kepada Allah. Kenapa kita perlu rasa malu apabila menangis di hadapan Allah sedangkan kita tidak ada sedikit pun rasa malu mengutuk ciptaan Allah? Allah maha pengampun dosa-dosa kita. Pada masa inilah kita bersama-sama memohon keampunan daripada Allah dan moga Allah makbulkan dan terima doa serta taubat kita.

 Tetapi bukan masa ini sahaja kita berdoa dan memohon keampunan daripada Allah tetapi setiap hari kita memohon keampunan daripada Allah dan mengadu pada Allah segala masalah kita. Doa tidak boleh kita baca hari sahaja dan hari seterusnya kita berhenti, setiap hari kita perlu berdoa mungkin Allah akan terima doa kita.
Marilah bersama-sama kita menadah tangan untuk memohon doa kepada Allah semoga Allah permudahkan segala urusan pencarian pesawat MH 370, semoga anak kapal serta penumpang pesawat MH 370 sentiasa dalam lindungan serta rahmat Allah, juga kita doakan semoga Allah tabahkan hati keluarga mangsa kehilangan pesawat MH 370. Berdoalah dengan penuh rasa kehambaan dan dengan penuh rasa keinsafan. Jika di laut, timbulkanlah..
Jika di darat, tunjukkanlah.. Jika di langit, turunkanlah.. Mungkin ada hikmah di sebalik kejadian ini. Allah maha mengetahui apa yang berlaku...

SAAT KEMATIAN SAIDINA UMAR AL-KHATTAB

Pada 23 Zulhijjah tahun 23 Hijrah Umar al Khattab dibunuh oleh Abu Lu’lu’ dalam masjid ketika menjadi imam sembahyang subuh. Setelah menikamnya sebanyak 6 kali maka Abu Lu’lu’ cuba melarikan diri namun dihadang oleh ahli jemaah yang berada dibelakang Umar al Khattab. Abu Lu’lu’ yang bersenjatakan pisau bermata dua sempat menikam 13 orang sebelum membunuh diri.
Dalam keadaan luka parah dan menahan kesakitan Umar al Khattab menyuruh Abdul Rahman Auf menjadi imam sembahyang. Selesai sembahyang baru mereka mendapatkan Umar al Khattab yang sedang terbaring berlumuran darah.
“Siapa yang menikamku?” tanya Umar al Khattab.
“Abu Lu’lu’ hamba Mughirah Syu’bah,” jawab Abdullah.
“Syukur kepada Allah kerana aku tidak dibunuh orang Islam,” ujar Umar al Khattab.
Datang seorang tabib cuba memberikan rawatan. Kemudian diberinya minum tetapi minuman itu keluar dari perutnya yang luka.
“Wahai Amirul Mukminin, sudah tiba masanya,” kata tabib itu.
Orang ramai menangis tetapi ditegah oleh Umar dengan berkata.
“Jangan kamu menangis. Nabi bersabda orang yang mati terazab dengan tangisan keluarganya.
”Kemudian Umar al Khattab memanggil anaknya Abdullah supaya menemui Aisyah isteri Rasulullah saw mohon kebenaran disemadikan bersebelahan dengan kubur baginda. Aisyah membenarkan dengan berkata . “Sebelum ini aku telah menyimpan tempat itu untuk aku tetapi hari ini aku menyerahkannya kepada Umar.”
“Wahai Amirul Mukminin, apakah tuan akan melantik Abdullah bin Umar sebagai pengganti?” tanya Al Mughirah.
“Demi Allah, aku haramkan keluarga dari jawatan ini…” jawab Umar al Khattab.
Kemudian Umar al Khattab menamakan 6 orang sebagai calun khalifah mereka ialah Uthman Affan, Ali bin Abi Talib, Talhah bin Ubaidillah, Zubair bin Awwam, Abdul Rahman bin Auf dan Sa’ad bin Abi Waqas. Mereka akan dipilih oleh ahli majlis syura.
Kemudian Umar al Khattab memberi wasiat kepada anaknya Abdullah bahawa beliau mempunyai hutang sebanyak 8 ribu dirham. “Jual semua hartaku untuk membayarnya. Jika tidak cukup kamu yang membayarkannya. "
Ali bin Abi Talib memandi dan mengkafankan Umar al Khattab. Kemudian beliau berkata. “Demi Allah, orang yang diselubungi kain kafan ini begitu cinta untuk menemui tuhannya.”
Jenazah Umar al Khattab disembahyangkan di masjid dengan Suhaib menjadi imamnya. Kemudian disemadikan bersebelahan dengan kubur Rasulullah saw dan Abu Bakar as Siddiq. Orang yang turun ke liang lahad adalah Uthman Affan, Sa’id bin Zaid, Suhaib bin Sinan dan Abdullah bin Umar.
Kubur tiga sahabat sejati itu sentiasa dikunjungi orang ramai hingga ke hari ini. Setelah menziarahi dan berdoa di makam Nabi Muhamad saw dan Abu Bakar teruslah berdoa untuk Umar al Khattab pula.
“Salam sejahtera ke atasmu wahai yang
menzahirkan Islam secara terang-terangan. Salam sejahtera ke atasmu wahai yang telah diberi gelaran al Faruq yang memisahkan antara yang benar dan salah, salam sejahtera ke atasmu yang sentiasa bercakap benar serta memelihara anak yatim dan menghubungkan kasih sayang dan engkaulah yang menjadikan agama Islam kuat dan gagah. Maka terima lah salam sejahtera serta rahmat dari Allah ke atasmu.”